Thursday, September 23, 2010

Perjuangan yang baru bermula....

    Tidak pernah aku berahsia hanya sekadar menyimpan rasa. Tidak semua mampu aku luahkan namun kau tetap tahu. Kau pujuk hatiku dengan seloka dan gurindam kerana kau tahu halusnya jiwaku. Aku perlihatkan sikapku yang kasar ku perlihatkan sikapku yang tegas namun yang kau lihat kelembutan dan ketulusan hatiku menyayangi dirimu. Biarpun ramai yang memandang serong pada penampilanku namun kau tetap pertahankan kerana katamu kau memandang apa yang tersirat dan bukan yang tersurat. Kau memandangku dengan makrifat bukan sekadar hakikat. Biarpun tidak kufahami maksudmu namun aku bersyukur kerana kasihmu yang tulus dan jujurnya sikapmu.
  
    Begitu hebatnya cintamu kau menyintaiku kerana Allah bukan sebab hawa nafsu. Kau memilih aku perjuangan yang sama, berjuang demi bangsa dan tanahair kerana ia jalan yang diredhai Allah. Walau kita berbeda cara namun berjuang demi yang hak untuk mengalahkan yang batil. Bangsaku, agamaku dan tanahairku disitu kita kongsi rasa kecintaan yang sama. Sesungguhnya Allah itu Esa dan Maha Bijaksana diaturnya kita bertemu dalam tak sedar aku suka pada dirimu. Setiap detik kita lalui bersama kau tanamkan aku semangat untuk terus berjuang. Walau terkadang aku ingin berundur kau tetap berdiri teguh dibelakangku  mendorong aku untuk terus mara.

  Ya Allah, sesungguhnya kau Maha Mengetahui......hadirnya dia memberi aku seribu harapan untuk aku teruskan cita-citaku untuk berjuang di jalan yang diredhai. Disuntiknya semangat untukku terus berkarya walau hakikatnya aku hanyalah insan yang biasa tidak punya cukup ilmu didada namun berkat doamu Allah berikan aku ilham untuk terus menulis. Tidak akan mungkin aku akan bisa melakukan semua ini jika tiada bantuan dari Ilahi. Sesungguhnya kaulah pujaan hatiku kerana tidak pernah sedetik kau jatuhkan semangat juangku malahan kaulah yang sering memberi perangsang disaat aku goyah. Walaupun insan lain mencerca kau tetap jua berkata bahawa mereka tidak melihat permata kerana hitamnya hati mereka. Tersenyum aku kembali dan semangat aku kembali berkobar-kobar.

  Aku berjuang bukan kerana nama dan kemewahan aku berjuang kerana Allah. Aku bukan seorang yang bisa mengangkat senjata namun aku bisa berkata-kata. Kaulah laksamana yang berperang tetapi aku hanya puteri yang akan menjadi pendorong. Berbeda cara namun bersama berkongsi rasa untuk pertahankan bangsa dan agama. Tak melayu hilang didunia itulah katamu.....dan aku sering menambah melayu akan hilang haknya andai terus lena dan berpecah-belah. Hanya kerana berbeza pendapat dan politik bangsa melayu saling bercakaran, caci-mencaci dan berpecah-belah hingga mengundang bahaya. Tidak sedarkah kita bahawa andai kita terus-terusan begini bangsa kita akan mengemis dibumi sendiri. Mahukah kita senasib dengan rakyat Palestin yang menderita hingga kita. Bangkitlah bangsaku sedarlah.....

  Tidak akan pernah aku rela bangsaku menjadi bangsa yang menumpang ditanahairnya sendiri. Sedarlah wahai bangsaku melayu itu amat bijaksana andaikata kita pandai menggunakan akal kita. Tidak terfikirkah mengapa bangsa lain begitu berusaha untuk cuba memecah-belahkan bangsa melayu sudah tentu kerana mereka sedar betapa melayu itu mempunyai semangat juang yang amat tinggi dan amat bijaksana akalnya. Biar nyawa berpisah dari jasad aku tetap akan pertahankan hak bangsa melayu. Dengan bangga aku katakan aku berbangsa melayu yang beragama islam. Biarlah orang lain memandang serong padaku hanya kerana penampilan aku. Namun aku akan terus berjuang walau hanya dengan berkata-kata. Bisanya kata-kata adalah lebih berbisa dari luka dihiris pedang. Perjuangan aku masih terlalu jauh dan aku hanya bermula selangkah cuma. Berjuang aku dan dirimu kerana Allah tidak akan pernah kita untuk mati bersama walaupun nyawa galang gantinya tidak akan sekali-kali kita berundur walau selangkah cuma.

 Berpantang ajal sebelum maut....selagi Allah bersama tidak akan pernah aku merasa takut dan gentar pada tohmahan manusia yang tidak memberi kesan walau sebesar kuman cuma. Kata-kata nista kutelan dan kunikmati dengan ucapan Alhamdullillah dan aku mampu terus tersenyum. Tidak akan sekali-kali aku menghukum mereka kerana itu bukan hak aku hanya Allah yang bisa menghukum mereka kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Aku sentiasa berserah dan berlindung disebalik keangungan kuasa Allah. Tiada satu pun kuasa yang dapat menandingi kuasa yang Esa. Kebenaran akan tetap terserlah hanya masa yang akan menentukan. Setiap sesuatu kejadian pasti ada hikmahnya.

  Sayangku......terima kasih kuucapkan kerana sudi membawa aku ke dalam perjuanganmu. Terima kasih kerana membimbing aku ke jalan yang diredhai Allah. Doaku semoga kita akan terus bersatu dalam perjuangan menegakkan kebenaran demi bangsa dan agama......


                     Kaulah panglima kaulah laksamana,
                     Akulah puteri akulah suri,
                     Kaulah kekasih kaulah cahaya,
                     Walaupun aku mawar berduri.

                     Kerana aku adalah aku,
                     Dan kau adalah engkau,
                     Dahulu kita pernah bersatu,
                     Kini kembali menjadi satu.

                     Satu cinta satu rasa,
                     Satu harapan satu perjuangan,
                     Berjuang bersama walau dimana,
                     Demi bangsa dan kebenaran.
                    


 

2 comments:

  1. Nukilan yg semakin mantap..teruskan krn laksamana sentiasa ada slalu disisimu..:)

    ReplyDelete
  2. Bila mana aku jatuh cinta, temukanlah aku dengan dia yang menyintaiMu agar aku lebih teguh melangkah..

    ReplyDelete